SHAH ALAM, 28 MEI: Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkuat kuasa 4 Julai.
Mula bercuti esok hingga 3 Julai, Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nik Nazmi yang tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) baru-baru ini berkata, beliau sedar kedudukan sebagai naib presiden sebelum ini menjadi pertimbangan utama pelantikannya ke dalam Kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada pemilihan KEADILAN minggu lepas, Nik Nazmi tewas dalam persaingan yang ditandingi 11 calon.
Jawatan berkenaan dimenangi Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Jelas Nik Nazmi, beliau kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan Setiawangsa.
"Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa," katanya.
Sepanjang memegang jawatan menteri sejak Disember 2022, beliau mengetuai dua kementerian iaitu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan kemudiannya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).