KUALA LUMPUR, 28 MEI: Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan menyimbah cat di bahagian luar sebuah rumah milik seorang individu, dua bulan lepas.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap juruteknik Chin Zi Ping, pengurus syarikat Tieu Boon Chow, 34, dan juruteknik penyaman udara, Ooi Hong Leong, 38, serta memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 16 April lepas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyimbah cat di luar rumah seorang lelaki serta sebuah kereta dan motosikal milik mangsa yang menyebabkan kerugian RM10,000 di sebuah rumah di Taman Angkasa Batu 6, Brickfields di sini pada 4.50 pagi, 29 Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon supaya ketiga-tiga tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira nilai kerugian yang dialami mangsa dalam kes itu.
Peguam Nurul Diyana Basher daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu kesemua anak guamnya dikenakan hukuman pemenjaraan dalam tempoh singkat.
“Ketiga-tiga anak guam saya menanggung keluarga dan isteri serta memohon maaf atas perbuatan mereka,” katanya.
- BERNAMA