SHAH ALAM, 28 MEI: Malaysia kini berada di kedudukan nombor satu dunia sebagai destinasi pilihan pelancongan perubatan, mengatasi negara maju termasuk Singapura dan Turkiye.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pengiktirafan oleh firma global Nomad Capitalist yang berpangkalan di Dubai itu membuktikan kepakaran perubatan Malaysia diyakini masyarakat antarabangsa.
“Mereka hadir kerana yakin dengan kepakaran doktor dan jururawat kita, dengan standard penjagaan kesihatan yang tinggi, serta keunikan gabungan rawatan moden dan layanan mesra serta nilai murni masyarakat Malaysia.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif - petugas kesihatan awam dan swasta, pelabur, dan rakan strategik yang terus memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dzulkefly menambah, sektor pelancongan perubatan Malaysia menjana lebih RM2 bilion dengan kehadiran kira-kira 1.3 juta pelancong kesihatan dari seluruh dunia pada 2023.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas kerja gigih semua pihak khususnya Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) yang berusaha mempromosi pelancongan kesihatan sebagai antara sektor strategik negara.
“Kita tidak akan berhenti di sini. Kementerian Kesihatan komited untuk memperkasa penjagaan kesihatan primer, memacu transformasi digital sistem kesihatan dan memastikan sistem yang saksama, mampan dan bersedia hadapi cabaran masa depan,” katanya.
Sebelum ini, MHTC menerusi kenyataan memaklumkan Indonesia merupakan penyumbang tertinggi iaitu 70 peratus hingga 80 peratus daripada jumlah kemasukan pelancong kesihatan ke negara ini.
Negara lain yang turut menyumbang kepada bilangan kemasukan pelancong kesihatan ke Malaysia ialah Bangladesh, Australia, China, Jepun, Hong Kong, Filipina, Singapura, Korea Selatan, India, Amerika Syarikat dan United Kingdom.