ad
AGENDA

Selangor antara tujuh negeri catat dagangan positif bernilai RM219.4 bilion pada April

28 Mei 2025, 2:49 PM
Selangor antara tujuh negeri catat dagangan positif bernilai RM219.4 bilion pada April

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Jumlah dagangan bagi tujuh negeri mencatat pertumbuhan positif iaitu mencecah RM219.4 bilion pada April 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport bernilai RM133.6 bilion pada April 2025, meningkat sebanyak RM18.9 bilion atau 16.4 peratus daripada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih tinggi di kebanyakan negeri.

Negeri yang mencatat pertumbuhan eksport iaitu Pulau Pinang (RM14.5 bilion), Johor (RM3.0 bilion), Selangor (RM3.0 bilion), Perak (RM286.5 juta), Negeri Sembilan (RM196.4 juta), Melaka (RM171.8 juta), Pahang (RM107.0 juta) dan Perlis (RM9.4 juta).

Bagaimanapun, katanya, nilai eksport menurun di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur sebanyak RM1.2 billion, Terengganu (RM783.2 juta), Sarawak (RM313.6 juta), Kedah (RM228.7 juta), Kelantan (RM96.4 juta), W.P. Labuan (RM33.1 juta) dan Sabah (RM22.6 juta).

Mohd Uzir berkata Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 36.7 peratus diikuti Johor (19.7 peratus), Selangor (18.2 peratus), Sarawak (6.9 peratus) dan W.P. Kuala Lumpur (3.2 peratus).

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan import pada April 2025 meningkat RM21.4 bilion (20.0 peratus) kepada RM128.4 bilion daripada bulan yang sama pada 2024.

Peningkatan import, katanya disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (RM9.0 bilion), Pulau Pinang (RM6.9 bilion), W.P. Kuala Lumpur (RM5.3 bilion), Johor (RM1.4 bilion), Perak (RM303.1 juta), Kedah (RM105.9 juta), Kelantan (RM39.7 juta) dan Sabah (RM27.9 juta).

Bagaimanapun, nilai import menurun di Pahang sebanyak RM794.8 juta, Melaka (RM674.4 juta), Negeri Sembilan (RM526.1 juta), Sarawak (RM306.8 juta), Terengganu (RM130.5 juta), W.P. Labuan (RM79.9 juta) dan Perlis (RM3.7 juta).

“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 29.7 peratus diikuti oleh Pulau Pinang (22.9 peratus), Johor (19.1 peratus), W.P. Kuala Lumpur (10.4 peratus) dan Kedah (5.0 peratus),” katanya.

Malaysia mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM261.9 bilion pada April 2025.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.