ad
AGENDA

Rafizi letak jawatan, harap teruskan reformasi berani

28 Mei 2025, 2:19 PM
Rafizi letak jawatan, harap teruskan reformasi berani
Rafizi letak jawatan, harap teruskan reformasi berani

SHAH ALAM, 28 MEI: Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan dari jemaah menteri berkuat kuasa 17 Jun ini, kurang sebulan dari sekarang.

Dalam kenyataan, beliau berkata surat itu dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan baki cuti tahunan mulai hari ini hingga 16 Jun.

"Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025," katanya.

Pengunduran itu susulan kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) baru-baru ini, yang menurutnya, beliau tidak lagi mempunyai mandat untuk menterjemah agenda rakyat.

Jelasnya, ia juga mengikut prinsip demokrasi dengan pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada individu yang menang untuk mengambil tempat dalam kerajaan.

[caption id="attachment_584591" align="aligncenter" width="810"] Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini.

"Saya melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan," kata Rafizi.

Dalam pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar untuk jawatan timbalan presiden. Nurul Izzah meraih 9,803 undi, sementara wakil rakyat Pandan itu mendapat 3,866 undi.

Dalam pada itu, beliau yakin program membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori kementerian yang pernah ditadbirnya akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat awam.

Menurutnya, amanah terakhir sebagai menteri juga disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen.

"RMK13 digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

"Saya berharap jemaah menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalamnya," katanya.

Rafizi turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, swasta, media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang perkhidmatannya sebagai menteri.

"Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

"Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan," jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.