SHAH ALAM, 28 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan operasi perobohan gerai penjaja tanpa permit di Seksyen U3 semalam, susulan aduan daripada penduduk setempat.
Menurut Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, gerai-gerai terbabit menimbulkan pelbagai kacau ganggu termasuk halangan laluan awam, kesesakan lalu lintas dan isu kebersihan.
Menurutnya, operasi yang disertai 150 anggota termasuk polis, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor menyita 10 barangan mengikut Undang-Undang Kecil Penjaja (MBSA) 2007.
“Manakala, sebanyak 21 unit khemah dirobohkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu binaan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan.
[caption id="attachment_703118" align="aligncenter" width="740"] Penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita barangan ketika operasi perobohan gerai penjaja tanpa permit di Seksyen U3, Shah Alam pada 27 Mei 2025. Foto MBSA[/caption]
MBSA turut menjelaskan 14 notis telah dikeluarkan kepada penjaja sejak Ogos tahun lalu bawah peruntukan undang-undang sama, sebelum tindakan perobohan diambil.
Malah, Jabatan Pelesenan MBSA telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Isu Penjaja Tidak Berlesen pada Disember tahun lalu bersama penjaja terlibat.
“Hasil mesyuarat, para penjaja diberikan tempoh selama tiga bulan untuk berpindah, memohon gerai dan permit penjaja di Tapak Penjaja Sementara bawah kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.
[caption id="attachment_703119" align="aligncenter" width="815"] Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan operasi perobohan gerai penjaja tanpa permit di Seksyen U3, Shah Alam pada 27 Mei 2025. Foto MBSA[/caption]
MBSA menegaskan bahawa semua penjaja perlu mematuhi peraturan dan mendapatkan permit sah sebelum memulakan perniagaan.
“Permit ini penting untuk memastikan penjaja mematuhi peraturan kebersihan, keselamatan makanan, serta memastikan ketenteraman awam di kawasan tersebut,” katanya.