KOTA BHARU, 27 MEI: Polis percaya empat suspek yang terlibat dalam kes penculikan dan pemerasan terhadap seorang pemilik kedai emas di Palekbang, Tumpat, baru-baru ini merupakan anggota kumpulan penjenayah aktif di negeri ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kumpulan tersebut dipercayai telah lama bergiat aktif dalam kegiatan jenayah di sekitar negeri itu dan menjadikan beberapa individu sebagai sasaran pemerasan.
“Mereka merupakan kumpulan penjenayah yang terlibat dalam kegiatan memeras ugut, termasuk terhadap mangsa dalam kes ini selain meminta wang perlindungan daripada mangsa.
“Kumpulan ini juga dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah lain termasuk pengedaran dadah serta mempunyai hubungan dengan rakan jenayah di negara jiran,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mohd Yusoff berkata kumpulan itu mungkin menghadapi kesulitan untuk melunaskan bayaran bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran berikutan tindakan tegas pihak polis susulan larangan rentas sempadan sejak Disember tahun lepas.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai laporan yang tidak sahih berhubung kes berkenaan, termasuk andaian bahawa mangsa berhutang kepada suspek.
“Jangan buat andaian yang tidak berasas. Biarlah pihak polis menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata kumpulan penjenayah terbabit dipercayai sudah lama melakukan pemerasan ke atas mangsa dan yang terbaharu telah meminta mangsa menyerahkan emas sebanyak 80 kilogram dianggarkan bernilai lebih kurang RM40 juta.
Pada 20 Mei lepas, tular klip video yang memaparkan kenderaan mangsa dihalang sebelum dia dipaksa menaiki kereta Suzuki Swift berwarna kelabu.
-- BERNAMA