KUALA LUMPUR, 27 MEI: Empat lelaki disyaki terlibat kes samun sebuah rumah di Semenyih dengan menyamar sebagai anggota polis sudah ditahan dalam kejadian awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata keempat-empat lelaki warga tempatan berusia 33 hingga 38 tahun itu ditahan di empat lokasi berasingan, iaitu di Dengkil, Bukit Puchong, Bukit Raja, dan Klang antara 1.15 pagi hingga 5.32 petang pada Sabtu lalu.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis turut merampas Perodua Myvi kuning bersama tiga telefon bimbit serta beberapa pakaian suspek dipercayai digunakan dalam kejadian samun berkenaan.
“Tiga daripada yang ditahan direman empat hari hingga hari ini, manakala seorang lagi diberi jaminan polis pada Ahad lepas.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan rakan sejenayah yang masih bebas sebelum kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan modus operandi suspek yang menyamar dan memperdaya mangsa dengan memakai jaket (vest) polis untuk membuat pemeriksaan.
“Jika terdapat maklumat sebegini, sila salur atau laporkan perkara ini kepada balai polis berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Insp Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular satu video rakaman kamera litar tertutup di media sosial menunjukkan lima lelaki menyamar sebagai anggota polis yang menyamun mangsa, pesara lelaki berumur 55 tahun bersama tiga ahli keluarganya di sebuah rumah.
Suspek memakai pelitup muka serta dua daripada mereka memakai vest polis masuk ke dalam rumah mangsa dengan memecah masuk pintu hadapan rumah sebelum melarikan beberapa barang kemas, dua telefon bimbit dan wang tunai kira-kira RM500.
- BERNAMA