ad
AGENDA

Suri rumah rugi lebih RM100,000 diperdaya sindiket tawaran kerja tidak wujud

27 Mei 2025, 12:22 PM
Suri rumah rugi lebih RM100,000 diperdaya sindiket tawaran kerja tidak wujud

DUNGUN, 27 MEI: Seorang suri rumah kerugian RM112,206 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja tidak wujud dalam talian, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata wanita berusia 27 tahun itu pada mulanya melihat iklan tawaran kerja oleh sebuah syarikat kraf tangan di laman sosial Facebook pada 19 Mei.

Beliau berkata mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan memberikan maklumat peribadi untuk tujuan pendaftaran sebelum diminta membuat bayaran RM100 sebagai permulaan tugasan pelaburan.

“Selepas itu, mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang menawarkan komisen besar untuk satu-satu tugasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maizura berkata suri rumah itu telah membuat 28 transaksi wang ke 10 akaun bank berbeza berjumlah RM112,206 menggunakan wang simpanannya, sebelum menyedari ditipu setelah suspek enggan membuat pembayaran balik dengan alasan akaun syarikat dibekukan.

"Mangsa membuat laporan polis semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.