ad
AGENDA

Anggota polis dituduh membunuh isteri pada 2023 meninggal dunia semalam

27 Mei 2025, 5:41 AM
Anggota polis dituduh membunuh isteri pada 2023 meninggal dunia semalam

KANGAR, 27 MEI: Seorang anggota polis di Perlis yang dituduh membunuh isterinya pada Mac 2023 disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini petang semalam, selepas didapati tidak sedarkan diri ketika berada di Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia), Guar Nangka di Arau.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata pihak hospital mengesahkan menerima lelaki berusia 28 tahun berasal dari Terengganu itu dalam keadaan Brought In Dead (BID) pada 5.10 petang.

Beliau berkata warden bertugas yang meronda sel tahanan di pusat koreksional itu, menyedari lelaki itu tidak sedarkan diri selepas mendapati dia tidak bergerak ketika warden itu cuba menggerakkannya yang disangka tidur pada 4.30 petang, sebelum segera dibawa ke HTF.

“Siasatan awal pegawai penyiasat (IO) kes mendapati tidak menemukan sebarang unsur jenayah terhadap lelaki tersebut yang boleh menjurus ke arah punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mohsin berkata mayat lelaki itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar di Kedah bagi proses bedah siasat yang dijalankan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), sehingga keputusan penuh hasil bedah siasat diperoleh.

Ahmad Mohsin berkata anggota polis yang turut mempunyai rekod psikiatri yang telah dirujuk di beberapa hospital sejak 2017 itu, ditahan reman bagi kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di pusat koreksional berkenaan sejak 17 Mac 2023.

Untuk rekod, pada 5 Mac 2023, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal didakwa menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat dekat Kangar.

Kemudian pada 17 Mac 2023, Mahkamah Majistret Kangar mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri, selepas mahkamah membenarkan permohonann Pengarah Pendakwaan Perlis Mohd Nordin Ismail supaya tertuduh menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.