ad
BERITA UTAMA

'Walid' mahu upah pengawal, khuatir ancaman pentaasub ajaran sesat

27 Mei 2025, 2:00 AM
'Walid' mahu upah pengawal, khuatir ancaman pentaasub ajaran sesat

Oleh Intan Syuhada Akhir

Di sebalik sambutan luar biasa penonton dari negara seberang terhadap drama bersiri Bidaah, pelakon utamanya mengakui berasa keselamatan dirinya agak terancam.

Faizal Hussein, 57, yang memegang watak sebagai Walid, seorang ketua ajaran sesat, dihimpit rasa gusar sejak drama tersebut meraih lebih 2.5 bilion tontonan di Indonesia. Khuatir ada jemaah taasub melakukan sesuatu yang tidak diingininya.

“Itu juga menjadi sebab mengapa saya tidak menerima tawaran ke beberapa acara temu bual dan program digital dari seberang. Pertama, kerana tawaran itu semua bukan melibatkan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Kedua, jika saya ke sana (Indonesia), saya kena fikirkan beberapa perkara terutama keselamatan. Mungkin saya kena pasang pengawal keselamatan kerana khuatir ada kumpulan fanatik yang tidak senang dengan saya. Itulah sebabnya saya tak pergi,” katanya kepada Media Selangor pada 16 Mei.

Pelakon lelaki terbaik Festival Filem Malaysia ke-25 itu menganggap pengikut ajaran sesat di Malaysia tidak setaasub di republik berkenaan yang begitu tebal.

Bahkan, ia boleh mengundang bahaya jika dijelmakan sebagai karya kreatif. Bagi Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Hussein, Bidaah menembusi pasaran Indonesia lantaran karya itu membawa wacana manipulasi atas nama agama.

“Banyak pengkarya di sana tidak berani membuat kisah ajaran sesat atas banyak faktor termasuklah keselamatan,” katanya yang sebelum ini lebih diingati sebagai watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1985.

Beliau juga percaya Bidaah membuka minda penonton untuk menilai kebenaran sesebuah ajaran seperti kes gadis di Lombok yang melaporkan kegiatan ustaz melakukan jenayah cabul di sekolah pondok.

“Di Indonesia, isu ini besar dan lebih rumit apabila kumpulan ini juga menguasai ekonomi membuatkan mereka lebih kebal. Bila-bila masa sahaja mereka boleh buat agar penerbitan naskhah tentang ajaran sesat ini dihentikan. Jadi Walid boleh menjadi ‘suara’ kepada mangsa,” cerita Faizal lagi.

Untuk menghayati watak Walid yang popular dengan ungkapan “pejamkan mata, cuba bayangkan wajah Walid” dalam drama tersebut, Faizal cuba menyelami suasana sebenar yang terjadi kepada bekas pengikut ajaran sesat di negara ini.

“Dalam perbualan kami, dia menceritakan segala-galanya iaitu apa yang terjadi dan cara ketua jemaah meyakinkan pengikut. Individu ini pun pada awalnya tidak tahu apa-apa. Cuma beberapa tahun selepas itu, ada perkara terjadi yang membuatnya tersedar dan keluar daripada ajaran tersebut,” katanya.

Beliau bersyukur kerana banyak watak antagonis yang dibawanya, dari Azroy hingga Walid, meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan kepada penonton. Namun, Faizal tidak mahu terbawa-bawa dengan sesebuah watak.

“Selepas (memegang watak) Walid, pengikut (media sosial) saya bertambah berkali-kali ganda. Mungkin itu yang terjadi jika kita benar-benar ikhlas bekerja,” katanya yang mahu memberi tumpuan kepada naskhah baharu. Beliau mahu memejamkan dirinya dari menjadi Walid.

“Apabila suatu watak itu sudah saya lunaskan seperti Walid, saya tidak kisah lagi. Cuma impak kerja saya yang membuatkan ia bergerak dan diperkata hingga ada buat kek Walid, poster Walid, mi segera Walid pun ada. Kelakar juga tetapi saya biarkan sahaja.

“Saya juga tidak akan menerima lagi sebarang temu bual atau audio siar tentang Bidaah,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.