KUALA LUMPUR, 26 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah di luar Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung di sini.
Pertemuan selama kira-kira 20 minit itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Kuwait, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, pelancongan serta pengurusan bencana.
Kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau ini termasuk situasi di Palestin, Syria, Lubnan dan Yaman.
Terdahulu, Anwar dan Sheikh Sabah Khaled menyaksikan majlis pertukaran dokumen Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
- BERNAMA