SHAH ALAM, 26 MEI: Orang ramai dijemput memeriahkan Karnival Ceria Selangor di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang bermula jam 7 pagi, Sabtu ini.
Karnival terbuka secara percuma kepada orang awam selain kuntuman ros istimewa menanti 500 peserta terawal dan kemeja-T percuma juga menanti 1,000 peserta terawal.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk Larian Kasih Ibu sempena Kempen Menentang Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak.
Acara lain ialah pertandingan mencipta wau untuk kanak-kanak, teater kesedaran tentang keganasan gender dan cabutan bertuah dengan hadiah lumayan.
Turut diadakan ialah pelancaran inisiatif Khairat Darul Ehsan, program pendidikan dan hiburan untuk semua lapisan masyarakat serta pemberian beg sekolah kepada ahli TAWAS.