ad
AGENDA

Mangsa simbah asid makin pulih, selesai jalani tiga pembedahan

26 Mei 2025, 12:17 PM
Mangsa simbah asid makin pulih, selesai jalani tiga pembedahan

KOTA BHARU, 26 MEI: Keadaan kesihatan mangsa serangan asid, Nor Faziera Muda, 27, semakin pulih selepas menjalani tiga pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata dia juga tidak pasti berapa kali lagi isterinya yang juga pengusaha spa perlu menjalani pembedahan susulan insiden 17 Mei lepas itu.

"Kami menyerahkan kepada kebijaksanaan doktor dan berharap keadaannya akan pulih sepenuhnya secepat mungkin.

"Kebimbangan saya sekarang adalah kesan trauma isteri kerana dia mungkin masih terbayang saat diserang apatah lagi tidak mengetahui individu yang tergamak melakukan perbuatan berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ditanya mengenai penahanan dua suspek termasuk seorang yang masih diburu, Muhammad Syahrul berkata dia enggan membuat sebarang andaian kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

"Saya serahkan semuanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan menangkap individu yang terbabit.

"Perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti itu perlu diberikan hukuman yang setimpal," katanya.

Pada minggu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar dekat Tawang, Bachok.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki dan dia dilaporkan stabil selepas dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran HUSM, di sini.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.