KUALA LUMPUR, 26 MEI: Perlawanan persahabatan antara kelab gergasi bola sepak England Manchester United dan Asean All-Stars bagi merebut Piala Cabaran Maybank yang akan berlangsung di sini pada Rabu dijangka disaksikan beberapa ketua negara Asean.
Menurut ProEvents, beberapa pemimpin Asean dijangka hadir menyaksikan perlawanan itu yang dijadual bermula 8.45 malam di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kehadiran pemimpin itu mencerminkan peranan penting bola sepak sebagai jambatan budaya dan diplomatik di Asia Tenggara di samping menyerlahkan keistimewaan sukan ini yang mampu menyatukan pelbagai negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan ProEvents Julian Kam mengesahkan lebih 60,000 tiket terjual untuk perlawanan berkenaan, menyaksikan sambutan luar biasa peminat.
“Kami sungguh terharu dengan sambutan yang begitu menggalakkan daripada peminat. Setakat ini, lebih 60,000 tiket telah terjual, menggambarkan minat luar biasa rakyat Malaysia dan di rantau ini terhadap pasukan Red Devils itu.
“Ini bukan sekadar perlawanan, tetapi satu acara bermakna yang menyatukan sebuah kelab legenda dengan jutaan hati penyokong setia di serata Asia Tenggara,” katanya hari ini.
Manchester United yang kini di bawah kendalian Ruben Amorim dijadualkan tiba di Kuala Lumpur malam ini, hanya beberapa jam selepas menamatkan aksi terakhir Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford malam tadi.
Kali terakhir kelab itu beraksi di Malaysia ketika siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali, iaitu masing-masing 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai di Stadium Nasional.
Juara Liga Perdana 13 kali itu, yang mempamerkan aksi kurang memberangsangkan untuk musim ini apabila berada di tangga ke-15 dengan 42 mata juga dijadualkan mengadakan siri jelajah pramusim ke Hong Kong untuk menentang pasukan kebangsaan negara ini di Stadium Hong Kong pada 30 Mei.
Untuk rekod, pemimpin dari seluruh Asia Tenggara kini berhimpun di ibu negara sempena Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang bermula hari ini.
- BERNAMA