ad
AGENDA

Kastam patah cubaan seludup lebih 13kg bunga ganja RM1.4 juta

26 Mei 2025, 7:54 AM
Kastam patah cubaan seludup lebih 13kg bunga ganja RM1.4 juta

KUANTAN, 26 MEI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mematahkan cubaan membawa keluar 13.74 kilogram (kg) bunga ganja bernilai lebih RM1.4 juta dalam tiga operasi berasingan di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lepas.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata dalam operasi dijalankan pada 3.10 hingga 3.30 petang itu, pasukan penguat kuasa telah melakukan pemeriksaan dan imbasan ke atas sejumlah bungkusan dan mendapati imej menyerupai bahan organik.

“Hasil siasatan lanjut menemukan bahan organik yang disyaki bunga ganja dengan kesemua bahan itu diisi dalam plastik lut sinar sebelum dibalut dengan sarung bantal atau baju dan diletakkan di dalam kotak untuk penghantaran ke luar negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya modus operandi sindiket terlibat adalah mendapatkan dadah itu dari negara jiran dan dibungkus di Malaysia, sebelum dihantar ke negara lain menggunakan syarikat kurier melalui KLIA.

“Kita masih menyiasat sama ada mereka daripada sindiket yang sama atau tidak kerana alamatnya berbeza iaitu dua dari Terengganu dan satu dari Selangor.

"Tetapi kesemua bungkusan itu mahu dihantar ke luar negara. Selain itu, kita juga menyiasat bunga ganja itu dihantar untuk kegunaan apa, sama ada diproses atau dihisap," katanya.

Mohd Asri berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.