SHAH ALAM, 26 MEI: Seramai 300 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran menerima bantuan persekolahan menerusi program Kembali Ke Sekolah.
Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata sebanyak RM30,000 diperuntuk daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk diagih kepada pelajar berkenaan.
“Setiap pelajar menerima wang tunai RM100 bertujuan meringankan beban terutama ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.
“Kriteria pelajar yang menerima bantuan dipilih sendiri oleh pihak sekolah dengan syarat adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan maksimum satu keluarga dua anak sahaja,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan Yayasan MBI memperuntuk kira-kira RM15 juta tahun ini bagi menjayakan pelbagai agenda pembangunan pendidikan di Selangor.
Katanya program terlibat termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), program bantuan kembali ke sekolah, membaik pulih prasarana sekolah dan membantu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Tahun lalu MBI memperuntuk RM1.7 juta kepada 16,800 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada setiap penerima.