ad
AGENDA

Dua bot penumpang gagal patuhi syarat lesen ditahan

26 Mei 2025, 6:34 AM
Dua bot penumpang gagal patuhi syarat lesen ditahan

SHAH ALAM, 26 MEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan dua bot penumpang selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen di sekitar perairan Pelabuhan Barat, Klang dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kedua-dua bot berkenaan ditahan menerusi dua pemeriksaan berasingan ketika menjalankan rutin operasi penguatkuasaan di perairan negeri itu.

Beliau berkata penahanan pertama dilakukan di kedudukan 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan pada 6.08 petang membabitkan sebuah bot yang sedang bergerak dari perairan Pelabuhan Barat menuju Jeti Royal Selangor Yacht Club.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 37 dan 39 tahun berada di atas bot berkenaan dan seorang daripadanya bertindak sebagai nakhoda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata penahanan kedua dilakukan kira-kira 14 minit kemudian, membabitkan sebuah lagi bot penumpang dalam perjalanan ke Pelabuhan Barat dari perairan Pulau Angsa dan pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga bertindak sebagai nakhoda.

Beliau berkata kedua-dua bot terbabit dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Selangor untuk siasatan lanjut.

“Semakan terhadap lesen kedua-dua bot itu mendapati nama individu yang bertindak sebagai nakhoda tidak dinyatakan dalam lesen sah dikeluarkan sekali gus dipercayai melanggar peruntukan undang-undang,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

Abdul Muhaimin mengingatkan komuniti maritim supaya lebih peka dan bertanggungjawab terhadap pematuhan lesen operasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.