KUALA LUMPUR, 26 MEI: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerbitkan buku koleksi komik Wira Anti Rasuah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Komik yang berbentuk multiformat iaitu buku dan video informatif, dilancarkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Koleksi komik itu terdiri daripada tiga buah yang mengandungi kisah berbeza dengan tema rasuah.
ITBM dalam kenyataan berkata penerbitan komik itu adalah inisiatif bagi meningkatkan kesedaran dan menjadi medium pendidikan antirasuah dalam kalangan murid sekolah rendah.
“Komik juga menggunakan pendekatan kekeluargaan dengan tanggungjawab mendidik dan mengamalkan nilai baik dan integriti yang bermula dari rumah dengan peranan diamalkan ibu bapa dalam kehidupan seharian.
“Ia terjemahan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu daripada buku asal berjudul Bribe Busters: A Trace Comic Book yang dihasilkan Trace International, sebuah organisasi berpengkalan di Amerika Syarikat, yang ditubuh untuk piawaian anti rasuah,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Fadhlina berkata naskhah komik itu merupakan usaha berterusan pihaknya bersama SPRM dengan ITBM bagi meningkatkan advokasi dan kesedaran awam khususnya kanak-kanak berkaitan amalan rasuah.
“Saya ucapkan tahniah kepada SPRM kerana usaha ini bukan mudah khususnya untuk menghasilkan karya berkait rapat dengan seni dan juga pendekatan secara kreatif ini.
“Semoga usaha ini dapat kita sebarkan luas dan meningkatkan advokasi khususnya anak-anak kita berkaitan anti rasuah,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran.
Koleksi komik akan diedarkan kepada semua sekolah rendah di bawah KPM seluruh negara secara percuma.