ad
AGENDA

Anwar: Sidang Kemuncak Asean-GCC-China lambang kekuatan perpaduan blok serantau

26 Mei 2025, 2:53 AM
Anwar: Sidang Kemuncak Asean-GCC-China lambang kekuatan perpaduan blok serantau

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China melambangkan kekuatan perpaduan blok serantau yang mampu memberi impak positif kepada dunia secara keseluruhan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Asean ketika ini berkata, kesatuan antara ketiga-tiga pihak itu membuktikan kejayaan dalam merangka semula kerjasama serantau sejajar perubahan dinamik dunia multipolar.

“Negara anggota Asean mesti mempertahankan sistem pelbagai hala,” katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama geoekonomi Asean-GCC-China perlu terus memainkan peranan penting ke arah membentuk masa depan yang lebih terangkum dan mampan untuk manfaat rantau ini dan rakyatnya.

Tema Kepengerusian Asean oleh Malaysia bagi tahun 2025 ialah “Keterangkuman dan Kemampanan.”

Antara ketua negara dan kerajaan yang hadir ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.

Turut hadir Perdana Menteri Timor Leste Xanana Gusmão selaku Pemerhati dan Setiausaha Agung Asean Dr Kao Kim Hourn.

Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan Asean selepas mengetuainya pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sempena sidang kemuncak kali ini, dua pertemuan penting turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak Asean-GCC kedua dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China sulung, yang menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.