KUALA LUMPUR, 25 MEI: Buku Suri Hati Nabi: Riwayat Hidup Para Wanita di Sekeliling Rasulullah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mencatat jualan tertinggi di reruai mereka sejak hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Pengurus Jualan dan Pemasaran IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman berkata buku terjemahan berharga RM50 itu mendapat sambutan luar biasa sejak dilancarkan tiga minggu lalu, sebagai kesinambungan kepada kejayaan Muhammad karya Martin Lings.
[caption id="attachment_702807" align="aligncenter" width="808"] Pengurus Pemasaran dan Jualan IBDE Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman ditemui di reruai IBDE pada Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kami sudah menjangkakan buku ini akan mendapat perhatian orang kerana tarikan kepada Muhammad iaitu buku yang ditulis oleh Martin Lings telah terjual lebih 100,000 naskah sepanjang penerbitannya yang sudah masuk cetakan ke-13.
“Penerbitan Suri Hati Nabi tulisan Aishah Abdul Rahman memperlihat bagaimana Nabi Muhammad SAW menguruskan rumah tangganya sebab adanya seorang lelaki hebat tentula ada perempuan di belakangnya," katanya ketika ditemui di reruai IBDE.
Tambahnya, dua lagi judul yang turut mendapat sambutan hangat ialah Himpunan Doa Harian Imam Al-Ghazali serta Memelihara Jiwa: Petua daripada Tabib Kurun ke-9 nukilan Malik Badri.
[caption id="attachment_702804" align="aligncenter" width="812"] Pengunjung membanjiri Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Buku doa harian yang disusun oleh Imam Al-Ghazali mendapat perhatian ramai untuk dijadikan amalan harian dengan edisi Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Arab. Ia menjadi kedua terlaris.
“Buku Memelihara Jiwa menjadi tular di TikTok sudah diterbit sebanyak tiga kali sesuai untuk pembaca yang ingin ‘healing’ dan mengalami kekacauan jiwa merupakan keempat jualan tertinggi di belakang buku Muhammad,” jelasnya.
Kesemua buku IBDE dijual pada harga antara RM20 hingga RM76 sepanjang PBAKL 2025 yang berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun.
Pengunjung turut menikmati diskaun 15 peratus bagi semua judul terbitan IBDE, serta tambahan lima peratus semasa ‘happy hour’ dari jam 10 hingga 11 pagi setiap hari.
[caption id="attachment_702805" align="aligncenter" width="715"] Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat buku-buku di reruai IBDE sempena Pesta Buku Antarabangsa KL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 25 Mei 2025.Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]