Oleh MUHAMMAD REY HAZRIELL
AMPANG JAYA, 25 MEI: Cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun mendapat pelbagai reaksi - dengan ada yang bersetuju, tidak kurang juga meluahkan kebimbangan.
Timbalan yang dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata cadangan itu wajar untuk memperkukuh tadbir urus dan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Jika dilaksana dengan terancang, lanjutan umur persaraan ini boleh menjadi peluang untuk kita mendekati masyarakat dan menghasilkan pentadbiran lebih cemerlang,” kata Ts Hasrolnizam Shaari.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui menyuarakan kebimbangan terhadap kesan pelaksanaan dasar tersebut, terutama buat generasi muda yang sedang membina kerjaya.
[caption id="attachment_582689" align="aligncenter" width="814"] Peserta menghadiri Seminar Asrama Pekerja Mendukung Bandar Berdaya Saing Negeri Selangor di Hotel Premiere, Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 22 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Jurulatih bola sepak Azlizal Mohd Sani menyifatkan usia 65 tahun terlalu lama untuk terus bekerja dan boleh menjejaskan tahap kesihatan individu terlibat.
“Had umur 55 hingga 60 tahun sesuai untuk bersara. Orang muda mungkin hilang semangat mencarum kerana melihat laluan mereka tersekat dan akhirnya hanya mahu cari ‘duit mudah’,” katanya.
Jurusilat Mozal Mustafa Kamal turut bersetuju dengan pandangan tersebut, dan menyatakan usia 60 tahun ke atas seharusnya menjadi fasa berehat, terutama bagi pekerja swasta.
“Mungkin untuk kakitangan kerajaan sesuai, tetapi bagi yang kerja sektor swasta ia kurang sesuai. Pada pendapat saya, rakyat pasti akan menolak cadangan ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun sesuai dilaksanakan di Malaysia.
Menurutnya, cadangan tersebut wajar dipertimbang kerana usia 60 tahun dianggap masih muda, produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam pada masa ini ditetapkan pada usia 60 tahun.
Ini juga usia persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.