KUALA TERENGGANU, 25 MEI: Kerajaan membuka ruang kepada semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), dalam mengadaptasi penggunaan sistem Solar Fotovoltaik (Solar PV) dalam usaha peralihan kepada tenaga bersih.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata menerusi pemasangan sistem Solar PV di premis masing-masing, ia antaranya dapat menjimatkan penggunaan elektrik sekali gus menjana tenaga baharu serta mengurangkan pelepasan karbon di udara.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata usaha berkenaan, dapat dilihat menerusi inisiatif dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan pemasangan sistem Solar PV di tempat letak kenderaan serta bumbung di Menara MBKT.
“Sistem Solar PV di MBKT ini adalah yang terbesar dipasang di bangunan milik pihak berkuasa tempatan (PBT), melalui program Net Energy Metering (NEM 3.0) di bawah kategori NEM GoMEN yang diluluskan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, pada 16 Dis 2021.
“Ia telah beroperasi bermula pada 2 Jan 2024 dan pepasangan ini dianggarkan dapat menjana sebanyak 1,147 MWj (megawatt-jam) bekalan elektrik hijau setahun dengan anggaran penjimatan bil elektrik lebih RM200,000 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan sistem Solar PV di Menara MBKT hari ini sempena Jelajah PETRA Skuad Zon Timur, yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, Fadillah berkata jelajah PETRA Skuad diteruskan ke Loji Solar Berskala Besar (LSS) Coara Marang untuk meninjau secara langsung pengoperasiannya, yang dilaksanakan di bawah inisiatif kerajaan melalui program LSS3.
“Kapasiti tenaga yang dijana daripada loji ini dianggarkan mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada lebih 10,000 isi rumah setiap hari dan ia antara loji solar termaju dari segi teknologi dan kecekapan.
“Selain membantu mengurangkan pelepasan karbon, projek LSS Coara Marang ini juga menjadi model bagi reka bentuk loji solar tahan bencana, yang sesuai untuk dibangunkan di kawasan berisiko tinggi banjir, sekali gus memperkukuhkan daya tahan sektor tenaga negara,” katanya.
Fadillah berkata jelajah PETRA Skuad Zon Timur diakhiri dengan tinjauan ke Loji Jana kuasa Biogas Concord Biotech Sdn Bhd, di Kemaman.
Beliau berkata pembangunan loji jana kuasa berkenaan melibatkan pelaburan RM21 juta merangkumi pemasangan dua enjin biogas, dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 2.404 megawatt (MW) dengan menggunakan biogas dari sumber sisa efluen kilang sawit (POME).
Fadillah berkata loji jana kuasa itu, telah mencapai pengoperasian komersial pada 12 Mac 2022, dengan SEDA Malaysia telah meluluskan kuota tarif galakan (Feed-in-Tariff atau FiT) pada 18 Feb 2019.
“Sehingga 31 Mac 2025, loji jana kuasa ini telah menjana tenaga elektrik sebanyak 29,158 MWj bersamaan dengan penghindaran 22,568 tan metrik setara karbon dioksida (CO2eq),” katanya.
- BERNAMA