ad
BERITA UTAMA

Kempen bebas plastik lebih seronok dan interaktif, tarik ribuan peserta

25 Mei 2025, 3:00 AM
Kempen bebas plastik lebih seronok dan interaktif, tarik ribuan peserta

OLEH AIDA NYAN

SEPANG, 25 Mei: Siri pertama Program Kempen Bebas Plastik anjuran Kerajaan Negeri di Bagan Lalang membuka tirai dengan pendekatan lebih santai, namun sarat dengan mesej tentang bahaya plastik sekali guna terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan ekosistem.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuh inisiatif pengurangan penggunaan plastik melalui kempen yang bukan sahaja informatif, tetapi juga interaktif dan menyeronokkan.

"Kita tidak mahu kempen membosankan macam belajar dalam kelas. Jadi kita anjurkan sekali dengan acara larian santai, reruai makanan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat khususnya anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kempen Kitar Semula di Pantai Bagan Lalang, di sini semalam.

Beliau turut memuji usaha penganjur yang melarang penggunaan plastik dalam kalangan peserta serta peniaga.

Terdahulu, Jamaliah melakukan gimik pelancaran dengan menandatangani tugu 'KitarEnd Plastik' disaksikan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Mohamad Shah Osmin.

Jelasnya gimik tugu botol plastik itu bagi memberi kesedaran dan peringatan tentang kesan nyata pencemaran plastik yang boleh berlaku dan memberi kesan kepada penduduk Bagan Lalang.

Menurut Jamaliah lagi, sepanjang tahun ini sebanyak empat siri utama program akan dilaksanakan, melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan.

Siri kedua bakal berlangsung di Majlis Bandaraya Diraja Klang pada Julai depan dan dua lagi lokasi akan diumumkan kelak.

"Matlamat utama setiap siri ialah untuk beri kesedaran dan juga bawa idea kreatif kepada pemimpin serta agensi kerajaan. Kalau nak capai dasar bebas plastik menjelang 2026, tindakan mesti bermula dari sekarang," ujarnya.

Program Kempen Bebas Plastik siri pertama ini disertai lebih 1900 peserta dan sukarelawan terdiri daripada mereka yang berusia seawal 6 hingga 70 tahun.

Ia disertakan dengan pelbagai acara menarik termasuk larian 3 kilometer, tanam pokok, kutip sampah, reruai pempamer daripada agensi kerajaan dan NGO, persembahan nyanyian dan pertandingan fesyen daripada barangan kitar semula.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.