SHAH ALAM, 25 MEI: Warga Selangor dipelawa hadir beramai-ramai memeriahkan Bazar Usahanita Digital yang berlangsung di pusat beli-belah Central i-City, Shah Alam, hari ini.
Acara yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu menampilkan lebih 70 reruai usahawanita muda dari pelbagai latar belakang, menawarkan produk tempatan berkualiti tinggi dan perkhidmatan menarik.
Pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah enak menerusi 33 reruai makanan dan minuman, mendapatkan servis daripada 33 reruai perkhidmatan, menjamu mata di lima reruai fesyen dan aksesori, serta membeli hasil kreatif dari 10 reruai kraftangan.
Lebih menarik, tujuh cabutan bertuah turut disediakan sepanjang program sebagai penghargaan kepada para pengunjung. Masuk adalah percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Bazar ini bukan sekadar medan jual beli, malah menjadi platform mengangkat potensi usahawanita muda Selangor dalam ekosistem ekonomi digital.
Ayuh hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menyokong usahawan tempatan serta merasai kemeriahan suasana bazar yang penuh warna dan inspirasi!