ad
AGENDA

Nurul Izzah: KEADILAN perlu kalis cabaran, perkukuh idealisme hadapi PRU-16

25 Mei 2025, 12:00 AM
Nurul Izzah: KEADILAN perlu kalis cabaran, perkukuh idealisme hadapi PRU-16

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

JOHOR BAHRU, 25 MEI: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyeru semua pimpinan dan perwakilan agar terus memperkukuh idealisme sebagai teras perjuangan parti bagi memastikan KEADILAN kekal kalis cabaran serta relevan, khususnya dalam peranan sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa dalam usaha memperkukuh parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), semua pihak perlu bersatu tenaga dan mengetepikan perbezaan pandangan demi memastikan perjuangan membela kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan serta dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Kerana mahu tidak mahu cabaran sebagai sebuah kerajaan, parti haruslah kekal utuh dan pertingkatkan kekuatan idealisme.

"Menuju 24 bulan sebelum pilihan raya umum di mana kita mahu garap sepenuhnya kuasa dan juga suara wanita dan anak muda, kita juga mahu sekurang-kurangnya kurang 40 peratus pencalonan diwakili wanita dan juga anak muda," katanya.

Berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini semalam, beliau percaya reformasi parti tidak hanya bertujuan mengekalkan kemenangan semata-mata, tetapi lebih kepada membina asas kukuh bagi perjuangan jangka panjang.

“Gerakan ini hanya boleh dimulakan apabila kita semua bersatu. Perjuangan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi memastikan matlamat perjuangan tetap relevan dan bermakna," ujarnya.

Nurul Izzah turut menekankan kekuatan utama sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kepimpinan tertinggi, tetapi juga kepada peranan akar umbi dan petugas lapangan yang sering terlepas pandang, sedangkan sebenarnya tonggak kejayaan parti.

Beliau turut menyeru semua pemimpin dan ahli parti untuk lebih peka serta mendengar suara dari peringkat akar umbi.

"Konteks pimpinan KEADILAN, kita mahu menjadi mata dan telinga supaya sentiasa saling mengingatkan dan sentiasa berpegang pada prinsip fastabiqul khairat, harus selalu nak berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan," tambahnya.

Nurul Izzah dinobatkan Timbalan Presiden KEADILAN pada pemilihan yang berlangsung semalam dengan jumlah undi 9,803 menewaskan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.