SEPANG, 24 MEI: Malaysia mula menerima kehadiran delegasi diplomatik dari pelbagai negara petang ini menjelang Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung di ibu negara hujung minggu ini.
Antara yang tiba hari ini ialah Menteri Negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khalifa Shaheen Almarar pada jam 2.16 petang di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut menyusul ialah Setiausaha Agung Asean, Dr Kao Kim Hourn (2.40 petang), Timbalan Menteri Hal Ehwal Pelbagai Hala Antarabangsa Arab Saudi, Abdulrahman Al-Rassi (3 petang), dan Menteri Luar serta Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas (5 petang).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam, Bui Thanh Son pula tiba pada jam 5.45 petang.
Sidang Kemuncak Asean ke-46 akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bersama Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak Asean-GCC-China yang julung kali diadakan.
Sidang berkenaan menghimpunkan pemimpin negara anggota Asean bagi membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju strategik masa depan rantau ini.
Malaysia pernah menjadi pengerusi Asean sebanyak empat kali sebelum ini, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
- BERNAMA