SHAH ALAM, 24 MEI: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menawarkan 1,000 suntikan vaksin papilomavirus manusia (HPV) secara percuma kepada remaja perempuan yang belum menerima imunisasi tersebut.
Wakil rakyatnya S Preakas memaklumkan inisiatif itu terbuka kepada remaja perempuan berumur antara 13 hingga 20 tahun yang belum pernah divaksin, sebagai langkah pencegahan awal terhadap barah pangkal rahim.
Permohonan boleh dibuat melalui pautan https://forms.gle/oBKLsfLxr89ZUSq18 atau hubungi pejabat DUN Kota Kemuning di talian 011-1257 5460 atau 010-211 8016
Menurut pejabat DUN, program dijadual berlangsung bulan depan dan memerlukan pra-pendaftaran awal bagi urusan tempahan vaksin dan logistik perubatan.
Malaysia telah melaksanakan Program Imunisasi HPV Nasional sejak 2010, menyasarkan pelajar perempuan tingkatan satu sebagai penerima utama.
Vaksin HPV penting bagi melindungi golongan muda daripada jangkitan yang boleh membawa kepada kanser serviks, dan kini hanya memerlukan satu dos sahaja untuk perlindungan berkesan.