Oleh Dewi Abdul Rahman
JOHOR BAHRU, 24 MEI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden parti adalah hasil amalan nepotisme.
Sebaliknya, beliau menegaskan pelantikan itu adalah manifestasi sokongan ahli akar umbi yang meyakini kepimpinan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu selepas melalui proses pemilihan yang telus.
“Azizah ya, saya pilih dahulu, tetapi Nurul Izzah saudara saudari pilih.
“Saya masih ingat ketika berbaki beberapa jam sahaja, berapa hari akan ke penjara, siapa yang boleh pegang obor sementara, saya tiada pilihan selain memilih Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk gantikan saya.
“Tapi sementara itu rupanya, puluhan tahun Azizah perlu galas tanggungjawab begitu juga dengan Izzah dengan keadaan terpaksa tinggalkan universiti untuk teruskan perjuangan, tapi masa itu saya tidak pernah dengar pula tentang nepotisme,” jelasnya.
[caption id="attachment_702649" align="aligncenter" width="1009"] Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan pimpinan parti baru ketika Sesi penggulugan Kongres Nasional tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2024/2025 di Persada Johor pada 24 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Anwar turut mengimbau perjalanan awal reformasi dan menegaskan bahawa isu nepotisme tidak pernah timbul meskipun keluarganya turut serta dalam perjuangan parti ketika itu.
“Ada dana? Ada jentera? Tiada. Masa itu tidak timbul isu keluarga dan nepotisme,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN di sini hari ini.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah menerajui jawatan Presiden KEADILAN sebelum Anwar mengambil alih tanpa bertanding pada 2018.
Dalam pemilihan semalam, Nurul Izzah muncul pemenang dengan 9,803 undi, menewaskan penyandang jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang memperoleh 3,866 undi.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan beliau wanita pertama memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti.