SHAH ALAM, 24 MEI: Seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diingatkan agar menolak budaya politik taasub terhadap individu yang boleh menjejaskan budaya sihat dalam parti.
Ketua wanitanya menegaskan bahawa pendekatan politik yang menurut tanpa soal dan menyingkirkan suara berbeza akan membantutkan pertumbuhan politik sihat dan kemajuan parti.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan politik dikir barat, di mana bila tukang karut berkata-kata, ahlinya akan mengikut setiap kata-kata itu.
“Budaya ini boleh membantutkan pertumbuhan politik yang sihat dalam parti kerana ia menyingkirkan individu yang berani membawa pemikiran baharu dan idea yang berbeza,” kata Fadhlina Sidek.
Berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN di sini, beliau turut menekankan keperluan mewujudkan ruang perbincangan yang inklusif serta kesatuan gerak kerja politik dari peringkat cabang hingga pusat.
“Kita melihat baik di cabang mahupun ranting, dan seluruh kepimpinan yang ada mesti ada kesatuan yang jelas.
“Kekuatan KEADILAN bukan sahaja terletak pada tokoh-tokoh utama, tetapi lebih penting lagi pada keupayaan untuk menghormati perbezaan, mendengar suara akar umbi dan bergerak secara kolektif,” katanya.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita KEADILAN selepas menewaskan Rodziah Ismail dalam pemilihan sesi 2025–2028 semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengumumkan Fadhlina memperoleh 2,890 undi selepas perasmian Kongres Nasional KEADILAN 2025.