JOHOR BAHRU, 24 MEI: Pemimpin yang menang mahupun tewas dalam pemilihan semalam perlu berdiri pada landasan sama untuk terus memperkukuh parti mendepani pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yakin kerjasama membolehkan parti meraih sehingga 50 kerusi, selain memenangi pilihan raya Sabah, untuk menjadi tunjang kerajaan yang dibentuk.
“Kalau kita pacu dan berdiri sama-sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal perdana menteri penggal kedua. Saya yakin 26 tahun dulu kita mula atas jalan tanpa modal kuat, peluang untuk buktikan apa kita katakan.
“Sekarang kita ada pentadbiran dan amanah besar. Caranya perkukuh jentera parti, perjelaskan corak kerja kita. Harus ada keyakinan bagaimana untuk kita mulakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi penggulungan Kongres Nasional Tahunan 2024/2025 hari ini.
Malam tadi, presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata calon tewas pada pemilihan penggal ini tidak dipinggirkan, sebaliknya akan dirangkul bersama-sama meneruskan perjuangan parti.
Menurutnya, tindakan itu penting demi agenda perjuangan selain kekuatan KEADILAN perlu terus dijaga untuk pembangunan negara pada masa depan.
Pada pemilihan semalam, Nurul Izzah Anwar dipilih sebagai timbalan presiden selepas menewaskan penyandangnya Datuk Rafizi Ramli yang juga menteri ekonomi dengan memperoleh 9,803 undi.
Amirudin mengekalkan jawatan penggal lalu apabila meraih sebanyak 7,955 undi, disusuli Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan (5,895), satu-satunya muka baharu.
Dua penyandang lagi Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun memperoleh 5,881 undi diikuti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dengan yang mendapat 5,757 undi.
Proses memilih barisan kepimpinan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat bermula 8 pagi hingga 5 petang membabitkan keseluruhan 32,030 pengundi secara fizikal serta dalam talian.