ad
AGENDA

LIMA'25 tarik 450,000 pengunjung, pacu minat dan inovasi industri pertahanan

24 Mei 2025, 8:15 AM
LIMA'25 tarik 450,000 pengunjung, pacu minat dan inovasi industri pertahanan
LIMA'25 tarik 450,000 pengunjung, pacu minat dan inovasi industri pertahanan
LIMA'25 tarik 450,000 pengunjung, pacu minat dan inovasi industri pertahanan

LANGKAWI, 24 MEI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) melabuhkan tirainya hari ini, dengan mencatatkan kehadiran kira-kira 450,000 pengunjung daripada kesemua kumpulan komersial dan perniagaan, delegasi dalam negara dan antarabangsa serta orang awam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jumlah ini menandakan edisi LIMA kali ini terus menjadi platform dan arena perkongsian pelbagai idea, teknologi terbaharu serta kerjasama strategik yang sangat penting untuk negara.

[caption id="attachment_702141" align="aligncenter" width="783"] Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordinmenyampaikan ucaptama pada Persidangan Maritim Malaysia (MMC) yang diadakan bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi pada 21 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

“Walaupun dalam keadaan suasana tidak menentu dan hujan seperti hari ini, di luar sana kita masih lagi nampak ramai orang berpusu-pusu masuk ke dewan pameran serta menyaksikan perkembangan teknologi yang sedang dilakukan.

“Tahun ini, sebanyak 860 pempamer mengambil bahagian dan angka ini adalah lebih tinggi berbanding LIMA’23 yang terdiri daripada 50 peratus pempamer tempatan dan 50 peratus pempamer luar negara, satu pencapaian yang sangat baik,” katanya dalam ucapan penutup LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Selama lima hari berlangsung, Mohamed Khaled berkata LIMA’25 juga merekodkan 1,400 pertemuan perniagaan antara syarikat (B2B) serta 920 sesi pertemuan antara perniagaan dan kerajaan (B2G).

Justeru, beliau berkata kesemua pencapaian itu memberi gambaran yang baik terhadap perkembangan dan masa hadapan industri pertahanan negara, sekali gus menjadi harapan dan sandaran negara untuk mengurangkan kebergantungan pertahanan terhadap pihak luar.

Selain daripada aspek komersial dan transaksi perniagaan, beliau berkata LIMA’25 turut melebarkan kemeriahan dan keunggulannya dengan merekodkan pertambahan bilangan pameran aset statik berbanding edisi sebelum ini.

[caption id="attachment_702611" align="aligncenter" width="806"] Persembahan dan demonstrasi aset oleh Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerlahkan segmen maritim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) yang berlangsung pada 23 Mei 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Beliau berkata buat pertama kali juga LIMA’25 menampilkan high immersive experience dome atau dikenali sebagai A.T.M.O.S Sphere yang merujuk kepada Aeroangkasa, Teknologi, Maritim dan Kelestarian.

“Ini adalah satu gambaran bagaimana banyak lagi perkara yang kita tidak tahu di dunia ini dan kalau kita ingin menjadi bangsa yang berjaya, kita mesti mempunyai nilai untuk sentiasa belajar dan mencungkil perkara-perkara yang masih belum ada dalam pengetahuan kita,” katanya.

A.T.M.O.S Sphere adalah pameran berteknologi tinggi yang menggunakan teknologi 360 darjah dan imersi audiovisual bagi mencerminkan aspirasi Malaysia untuk menerajui kemajuan dalam bidang darat, laut, udara dan seterusnya.

LIMA'25 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dan memberi penekanan pada inovasi serta peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa.

Pameran kali ini adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.