SHAH ALAM, 24 MEI: Persatuan Kebajikan Masyarakat Madani Sabak Bernam menubuhkan pusat penjagaan orang tua dan orang kurang upaya (OKU) di daerah itu yang akan memulakan operasi bulan depan.
Persatuan itu dalam kenyataannya berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar, selaras dengan prinsip kerajaan Madani.
“Pusat ini akan memulakan operasinya dengan penjagaan kepada dua orang pesakit terlantar dan bakal dikembangkan secara berfasa mengikut keperluan serta kapasiti komuniti setempat.
“Penubuhan pusat ini turut dijayakan dengan kerjasama erat Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail yang juga merupakan EXCO kemajuan desa, perpaduan dan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Rizam memaklumkan usaha menubuhkan pusat penjagaan berkenaan tercetus selepas melihat keperluan golongan terbabit hasil siri ziarah kasih yang dilaksanakannya.
“Usaha ini sebagai satu inisiatif masyarakat sivil yang mampu menyokong dasar pembangunan desa, khususnya dalam aspek penyediaan perkhidmatan sosial yang mesra rakyat dan inklusif,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Kebajikan Masyarakat Madani Sabak Bernam mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi memastikan kelangsungan dan kelengkapan pusat penjagaan ini dapat dioptimumkan.
Menurutnya, pihak persatuan menerima segala bentuk sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, peralatan, tenaga sukarelawan atau kepakaran daripada syarikat swasta, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Segala sumbangan akan disalurkan secara telus dan digunakan untuk keperluan pesakit seperti katil khas, makanan, ubat-ubatan, keperluan kebersihan serta fasiliti penjagaan harian,” katanya.