ad
PBT

MBSA siasat punca bunyi seakan letupan di Shah Alam

24 Mei 2025, 7:52 AM
MBSA siasat punca bunyi seakan letupan di Shah Alam
MBSA siasat punca bunyi seakan letupan di Shah Alam

SHAH ALAM, 24 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersedia menyiasat punca bunyi seakan letupan yang dilaporkan kerap kedengaran di sekitar bandar raya itu sejak beberapa minggu lalu.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata hasil siasatan berhubung gangguan bunyi yang tular di media sosial itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Saya akan minta Jabatan Kejuruteraan menyiasat punca bunyi letupan yang dikatakan kerap didengari sekitar dua tiga minggu lepas di bandar raya ini.

"Siasatan akan dijalankan dan kita akan maklumkan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui dalam satu program di Taman Botani Negara Shah Alam hari ini.

[caption id="attachment_702605" align="aligncenter" width="812"] Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim melepaskan peserta ketika sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia di Taman Botani Negara, Shah Alam pada 24 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Semalam, EXCO kerajaan tempatan meminta MBSA menyegerakan siasatan bagi mengenal pasti punca bunyi tersebut selain menggerakkan kerjasama antara Unit Perancang Ekonomi Negeri, pasukan penguat kuasa dan rondaan pantas.

“Kalau dapat kenal pasti punca, kita akan maklumkan kepada orang ramai supaya tidak mencetuskan kebimbangan,” kata Dato’ Ng Suee Lim dalam sidang media di Bangunan SUK.

Insiden bunyi seakan letupan itu berlaku sejak beberapa minggu lalu dan terus menjadi tanda tanya kepada penduduk.

Perkara itu turut dikongsi di Facebook Shah Alam Resident oleh beberapa individu yang dipercayai penduduk sekitar Shah Alam yang mendengar bunyi berkenaan.

Difahamkan, bunyi itu didengar di sekitar pusat bandar Shah Alam serta beberapa lokasi lain termasuk Denai Alam, TTDI Jaya dan Setia Alam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.