SHAH ALAM, 24 MEI: Program Mini Bird Race Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) merupakan inisiatif yang sangat baik dalam mendidik masyarakat berhubung kepentingan memelihara dan melindungi spesies burung hijrah.
Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya sentiasa menyokong dan mengalu-alukan program seumpama itu dapat diadakan lebih kerap supaya masyarakat lebih cakna kewujudan burung hijrah.
“Sebagai sebuah bandar raya yang sedang pesat membangun, Shah Alam perlu memberi perhatian kepada keseimbangan pembangunan termasuk pemuliharaan flora dan fauna dan spesies burung hijrah yang singgah di sini.
[caption id="attachment_702598" align="aligncenter" width="674"] Peserta mencatat jenis burung yang mereka temui ketika sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia di Taman Botani Negara, Shah Alam pada 24 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Terdapat 300 spesies burung yang berhijrah di sini dan sebagai pihak berkuasa kita perlu memastikan kawasan ini sentiasa terjaga serta bebas dari kacau ganggu kesan daripada aspek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Mini Bird Race TBNSA di sini hari ini.
Antara spesies burung yang berhijrah di TBNSA adalah Common Hill Myna; White-rumped Munia; Crimson-winged Woodpecker; Dollarbird dan Changeable Hawk Eagle.
Terdahulu, seramai 105 peserta menyertai pertandingan Mini Bird Race iaitu sebuah aktiviti lumba mencari spesies burung dengan tawaran hadiah RM300 kepada pemenang tempat pertama.
[caption id="attachment_702599" align="aligncenter" width="675"] Burung Pipit Tuli yang terdapat di Taman Botani Negara, Shah Alam pada 24 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berharap program itu dapat terus dijadikan sebagai acara tahunan dan dikembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi dan berskala besar pada masa akan datang.
“Semoga inisiatif ini menjadi langkah kecil yang membawa perubahan besar kepada alam sekitar kita,” katanya.