SHAH ALAM, 24 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan dana zakat sejumlah RM50.3 juta khusus kepada mualaf berdaftar sepanjang tahun lalu.
LZS memaklumkan penerima membabitkan 4,400 keluarga asnaf mualaf yang menerima manfaat daripada 30 program bantuan yang memfokuskan pendidikan, kebajikan, kerohanian, ekonomi, dan perlindungan.
Antara bantuan utama adalah:
- Elaun kehadiran kelas agama asas: RM16.3 juta
- Bantuan kewangan bulanan: RM9 juta
- Bantuan sewa rumah: RM6.2 juta
- Program pembangunan insan: RM1.2 juta
- Pengurusan pusat perlindungan mualaf: RM1.5 juta
“Terima kasih buat para pembayar zakat. Dengan kasih dan sokongan anda, kita bersama meringankan beban dan menyemai harapan baru buat saudara baharu kita,” katanya menerusi Facebook.
Umat Islam yang ingin melaksanakan ibadat zakat boleh menyalurkan wang zakat masing-masing menerusi pautan berikut https://fpx.zakatselangor.com.my
Bulan lalu, LZS mengumumkan kutipan zakat sebanyak RM1.22 bilion sepanjang tahun lalu, tertinggi dalam sejarah penubuhannya.
Daripada jumlah itu, sejumlah RM1.19 bilion diagihkan kepada lebih 370,000 asnaf di seluruh Selangor setakat Disember tahun lalu.