ad
BUDAYA

Sayunon

24 Mei 2025, 4:45 AM
Sayunon

(aku pulang)

sayunon berkisah sayu(p)

tentang momen kanak-kanak kami yang gembira

ia berdansa jelas di mata

hatiku tiba-tiba digenangi air mata.

dulu, Sayunon teman akrab bermain

disambutnya ketawa gimnastik kami memintas angin

dikuaknya dada bagai luas padang kami berenang

diberinya batang besar dibuat kuda tenggelam

setelah lelah ia menghantar kami pulang.

dahulu, Sayunon jeti sekampung yang kaya dan pemurah

diumpan dalam bubu baung dan udang galah

lampam dan haruan dihanyutnya ke mata pukat

lais lumpis penuh di kantung rambat

gemuk siput dan ketam pula dijadikannya jamu keriangan pagi para ibu

selain pakis dan rebung yang gebu.

kugali luah lesu bicara lantaran lama tak berjumpa

Sayunon nyata terluka

sebab pisau rakus materialis dan kuku hitam individualis

mengajak haloba estet meranap tanah hulu yang cantik

mengupah warga kurang terdidik

racun segala sisa dituang sesukanya dalam tubuhnya yang makin kurus bernanah perit

bayangkanlah betapa sakit.

kami sama-sama menangis pedih

malangnya suara kami kecil di sini

sebab itu aku tulis sajak ini biar dunia mengamati

apa yang telah mati dan bakal mati beberapa tahun lagi

lalu Sayunon bukan saja 'kan mengingati memori antara kami

tapi kamu semua yang bertandang menghulur sanubari.

J.r Jel

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.