SHAH ALAM, 24 MEI: Penduduk di kawasan rendah sekitar Klang diingatkan supaya berwaspada dan bersedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku mulai hari ini hingga 29 Mei.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, paras air laut tertinggi diramal mencecah 5.2 meter pada 26 dan 27 Mei, berdasarkan bacaan di Stesen Pelabuhan Klang.
Fenomena itu berisiko menyebabkan limpahan air laut dan banjir terutama di kawasan yang terdedah serta sistem saliran yang tidak mencukupi.
Jabatan Meteorologi turut meramalkan kejadian ribut petir di beberapa tempat pada waktu pagi sepanjang tempoh tersebut, sementara cuaca pada sebelah petang dan malam dijangka berkeadaan baik.
Antara waktu dan paras air laut yang dijangka tinggi ialah:
25 Mei (Ahad): 5.1 meter pada 4.35 petang
26 Mei (Isnin): 5.2 meter pada 5:24 petang
27 Mei (Selasa): 5.2 meter pada 6:09 petang
28 Mei (Rabu): 5.1 meter pada 6:53 petang
Penduduk dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca semasa, memastikan dokumen penting dan barangan berharga disimpan dengan selamat serta mengikut arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan diperlukan.
Sebarang maklumat lanjut atau bantuan kecemasan boleh diperoleh melalui Talian Kecemasan Negara 999 atau menghubungi Pusat Operasi Bencana (DDOC) Daerah Klang di 03-3382 9292.