ad
AGENDA

Amirudin kekal naib presiden, Nurul Izzah dipilih timbalan presiden

23 Mei 2025, 3:21 PM
Amirudin kekal naib presiden, Nurul Izzah dipilih timbalan presiden
Amirudin kekal naib presiden, Nurul Izzah dipilih timbalan presiden

Oleh: Dewi Abdul Rahman dan Norasyidah Arshad

JOHOR BAHRU, 23 MEI: Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengekalkan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan jumlah undi 7,955.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Pusat Antarabangsa Persada Johor malam ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan pula adalah muka baharu jawatan berkenaan dan beliau memperoleh undian 5,895 pada pemilihan barisan kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2025-2028.

Sementara itu, dua penyandang iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang mempertahankan jawatan berkenaan dengan undi 5,881 dan 5,757.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam persaingan kali ini.

Lebih 30,000 perwakilan mengundi secara fizikal dan atas talian pada pemilihan hari ini.

Pemilihan parti penggal 2025/2028 yang berlangsung hari ini membabitkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan AMK.

Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.