LANGKAWI, 23 MEI: Hierarki dalam kapal lazimnya tertumpu kepada Kapten atau Pegawai Memerintah (CO) iaitu individu paling atas yang memikul tanggungjawab mengemudi setiap misi.
Bagaimanapun, di sebalik kelicinan operasi dan kejayaan sesebuah misi terdapat satu jawatan yang tidak menonjol tetapi sangat penting iaitu ‘Chief of Galley’ atau COG.
Ini kerana di atas kapal, wujud satu ‘undang-undang’ tidak bertulis - perut yang kosong boleh menggugat misi, malah lebih parah boleh menyebabkan mabuk laut.
Hari ini, wakil media berpeluang melawat Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) bagi melihat sendiri bagaimana kapal peronda luar pesisir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu beroperasi.
Apa yang mencuri perhatian adalah operasi di sebalik dapur KM Tun Fatimah yang diketuai COG Bintara Muda Maritim Samsuri Halib dalam mengisi kekosongan perut kira-kira 50 anak kapal.
Samsuri mengakui tugas sebagai COG bukan semudah yang disangka kerana ia memerlukan kecekalan, ketelitian dan paling penting kemampuan menyediakan makanan yang cukup dan enak walaupun dalam keadaan laut bergelora.
“Saya dibantu yang lain (Laskar Bekalan) dalam menyediakan makanan tiga kali sehari kepada anak kapal. Biasanya kita masak (makanan) macam dekat rumah sahaja tapi sekali-sekala kita ada menu lain contohnya, makanan barat.
“Peralatan memasak juga memainkan peranan penting. Kalau kita lihat dekat dapur ini periuk semua tinggi supaya kalau laut bergelora periuk yang tinggi itu boleh menghalang makanan yang dimasak daripada tumpah,” katanya.
Bagi Laskar Kelas I Maritim Siti Khadijah Hasim yang berpengalaman dua tahun sebagai Laskar Bekalan KM Tun Fatimah iaitu sejak kapal itu dinamakan secara rasmi, beliau tidak pernah menganggap tugasnya remeh.
[caption id="attachment_702501" align="aligncenter" width="992"] Anggota wanita Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas dalam kapal KM Tun Fatimah terdiri daripada Laskar Kelas II (M) Nur Natasha Balqis Hazlan, Laskar Kelas II (M) Nur Alia Mukhlisah Abdul Khairi, Laskar Kelas II (M) Elyana Bairullah, Laskar Kelas I (M) Siti Khadijah Hasim, Laskar Kelas II (M) Nabilah Aisyah Tahir dan Laskar Kelas II (M) Nuridah Amir ketika lawatan ke kapal berkenaan pada 23 Mei 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Beliau berkata memastikan kru makan cukup dan tepat pada masanya adalah satu tanggungjawab yang besar lebih-lebih lagi ketika berdepan cabaran seperti cuaca buruk.
“Walaupun pada musim tengkujuh, saya masih lagi kena sediakan makanan untuk mereka,” katanya yang menekankan betapa pentingnya memastikan anak kapal tidak beroperasi dalam keadaan lapar.
Sebagai seorang wanita dalam dunia yang lazimnya didominasi lelaki, Siti Khadijah turut berdepan cabaran tersendiri, namun beliau bersyukur kerana pasukan KM Tun Fatimah amat memahami dan menyokong antara satu sama lain.
“Mereka memahami cabaran kita, kudrat kita tidak sama seperti mereka (anggota lelaki). Kita cuba sedaya upaya untuk tolong mereka juga,” katanya.
Beliau berkata antara pengalaman paling berharga termasuklah menyertai operasi khas Naga Laut di Beting Patinggi Ali, kawasan yang berkait rapat dengan isu pertindihan Laut China Selatan dan menjadi perhatian serantau.
Tambah Siti Khadijah walaupun pelbagai peranan dimainkan di atas kapal daripada navigasi hingga bekalan, beliau percaya setiap anggota memainkan peranan penting dan saling melengkapi.
KM Tun Fatimah ialah kapal peronda luar pesisir (OPV) pertama milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dibina sepenuhnya di Malaysia.
- BERNAMA