ALOR SETAR, 23 MEI: Enam individu cedera dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah lori Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhampiran Simpang Tiga Jalan Teluk Baru di Langkawi, hari ini.
Komander Hadapan Bilik Gerakan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA’25) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 3 petang sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Bilik Gerakan LIMA menerima panggilan kecemasan melalui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) darat yang memaklumkan berlaku kemalangan jalan raya melibatkan lima kenderaan iaitu lori TLDM dan empat kereta.
"Terdapat 30 mangsa yang terlibat iaitu lima lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan. Seorang daripada mangsa cedera di bahagian tengkuk," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lebih 40 pegawai dan anggota dari polis, TLDM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) turut membantu operasi berkenaan.
Sementara itu, TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan trak tiga tan yang membawa petugas Demonstrasi Segmen Maritim LIMA'25 hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan balik selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Ehsan Temonyong menuju ke Resort World Langkawi.
"Tiada kemalangan jiwa dan semua 25 petugas yang terlibat dibawa ke bilik perubatan Segmen Maritim untuk menerima rawatan awal manakala dua petugas dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk menerima rawatan lanjut akibat kecederaan di kaki.
"TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari mengesahkan kejadian dan laporan lanjut berhubung kejadian akan dimaklumkan kelak.
- BERNAMA