ad
AGENDA

JTKSM: Golongan muda mudah terperdaya tawaran kerja gaji tinggi di luar negara

23 Mei 2025, 10:06 AM
JTKSM: Golongan muda mudah terperdaya tawaran kerja gaji tinggi di luar negara

IPOH, 23 MEI: Golongan muda yang baharu menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi didapati paling mudah terperdaya dengan penipuan pekerjaan dari luar negara atau 'Job Scam'.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Kamal Pardi berkata ini kerana golongan itu mudah terperdaya dengan janji sindiket tersebut yang kononnya menawarkan tawaran gaji tinggi dan pelbagai kemudahan disediakan.

"Mereka (golongan muda) beria-ia hendak bekerja. Tiada pengalaman, tidak menyemak sama ada tawaran tersebut sahih atau pun tidak, kebanyakan tawaran dibawa bekerja ke luar negara.

"Jadi, inilah yang menyebabkan golongan muda terperangkap menjadi mangsa buruh paksa," katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Pencegahan Eksploitasi Pekerja: Ke Arah Sifar Buruh Paksa 2030 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Kamal berkata pihaknya menggalakkan orang ramai terutama golongan muda berdaftar dengan portal MYFutureJobs untuk mencari peluang pekerjaan yang bersesuaian dan mengelak terperdaya dengan penipuan pekerjaan.

Dalam pada itu, Kamal berkata konvoi jerayawara adalah sebahagian daripada inisiatif bersepadu bagi meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh tindakan kolektif terhadap isu eksploitasi pekerja serta buruh paksa.

Konvoi berkenaan dijangka menjelajah dari Perak ke negeri Perlis, dengan beberapa lokasi perhentian yang dikenal pasti bagi tujuan penyampaian maklumat secara langsung kepada komuniti sasaran.

“Program ini menampilkan pelbagai pengisian, termasuk sesi ceramah, libat urus komuniti, pengedaran bahan penerbitan serta pameran mini berkaitan hak pekerja, bentuk eksploitasi, dan saluran pelaporan.

“Pendekatan konvoi membolehkan mesej disampaikan secara lebih menyeluruh, dan langsung kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan juga sejajar dengan matlamat nasional dan komitmen antarabangsa Malaysia untuk membanteras buruh paksa menjelang 2030, dan melalui pelaksanaan berfasa JTKSM berharap semua pihak dapat berganding bahu untuk menjayakan aspirasi itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.