SHAH ALAM, 23 MEI: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki terbabas ke dalam parit dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Bernam Batu 10, Tanjong Karang, pagi tadi.
Mangsa berusia 53 dan 69 tahun yang menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza disahkan maut di lokasi oleh petugas kesihatan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.20 pagi dan menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta, yang terbabas dan masuk ke dalam parit.
“Dua lelaki didapati tercampak dari kereta dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan KKM untuk tindakan lanjut.
- BERNAMA