ad
EXCO

EXCO: Jumlah kilang tanpa kebenaran menurun, insentif khas galak pengusaha berdaftar

23 Mei 2025, 8:00 AM
EXCO: Jumlah kilang tanpa kebenaran menurun, insentif khas galak pengusaha berdaftar

SHAH ALAM, 23 MEI: Jumlah kilang tanpa kebenaran (KTK) di seluruh Selangor menunjukkan penurunan selepas penguatkuasaan dan program pemutihan yang dijalankan secara berterusan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata jumlah KTK telah menurun kepada 4,170 berbanding lebih 6,000 sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

"Angka ini menunjukkan perkembangan positif. Kita telah mengedarkan 90 notis 7A Kanun Tanah Negara kerana menyalahgunakan tanah kepada pemilik atau pengusaha KTK.

"Kita menyasarkan 500 notis akan dikeluarkan pada Julai ini kepada pengusaha KTK agar hadir bagi proses pemutihan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata Selangor memperkenal beberapa insentif untuk menggalakkan pengusaha kilang membuat pemutihan, termasuk potongan 30 peratus bagi premium penukaran guna tanah.

Insentif lain, katanya, bayaran premium tanah nominal, permit tanah khas, lesen sementara dan pematuhan keperluan teknikal minimum untuk permohonan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan Negeri memandang serius perkara ini dan hasrat kita mahu membantu (pengusaha KTK) supaya aktiviti di lapangan dapat dilakukan dengan sah,” katanya.

Pada 14 November tahun lepas, Suee Lim berkata pihaknya menyasarkan 80 peratus daripada 6,690 kilang KTK yang beroperasi di atas 5,352 lot tanah seluruh Selangor didaftarkan menjelang 2028.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai dengan tawaran insentif khas kepada pengusaha dan diskaun sehingga 30 peratus bagi bayaran penukaran guna tanah.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.