ad
AGENDA

Tiga masjid utama Jakim adakan solat hajat, Qunut Nazilah untuk Palestin

23 Mei 2025, 5:17 AM
Tiga masjid utama Jakim adakan solat hajat, Qunut Nazilah untuk Palestin

PUTRAJAYA, 23 MEI: Tiga masjid utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan melaksanakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti dan doa kepada rakyat Palestin.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyeru rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin di bumi Gaza yang terus dilanda situasi tragik.

“(Rakyat Palestin) saban hari dizalimi serta diserang dengan kejam tanpa sedikit pun rasa perikemanusiaan oleh rejim Zionis Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jakim konsisten dalam menyokong pendirian Kerajaan MADANI yang tegas membela kedaulatan negara umat Islam, khususnya Palestin serta terus membantu rakyatnya dalam pelbagai bentuk dan cara.

“Adalah diseru agar umat Islam bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana serta pembebasan bumi al-Quds. Semoga dengan usaha sekecil ini akan dipandang tinggi di sisi Allah SWT,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.