ad
AGENDA

Polis tahan suspek kedua kes simbah asid pemilik spa

23 Mei 2025, 2:49 AM
Polis tahan suspek kedua kes simbah asid pemilik spa

KOTA BHARU, 23 MEI: Polis menahan seorang lagi suspek lelaki disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata suspek ditahan pada 4 petang semalam di sebuah kilang getah di Kuala Krai.

Beliau berkata suspek berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Polis akan memohon perintah reman suspek pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seorang suspek wanita turut ditahan di sebuah kilang yang sama kerana disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan pada 4 petang pada Rabu.

Pada Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh seorang individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang dekat Bachok.

Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki, bagaimanapun dia kini dilaporkan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.