ad
BERITA UTAMA

Projek ekonomi kampung bantu usahatani cari rezeki, tingkat taraf hidup

23 Mei 2025, 1:15 AM
Projek ekonomi kampung bantu usahatani cari rezeki, tingkat taraf hidup
Projek ekonomi kampung bantu usahatani cari rezeki, tingkat taraf hidup

SHAH ALAM, 23 MEI: Lebih 120 usahawan negeri ini menerima bantuan peralatan dan input pertanian bagi menjana pendapatan menerusi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek).

Lebih RM6.4 juta dana diperuntuk sejak 2021, projek membabitkan 10 kampung turut meliputi pembinaan Rumah Perlindungan Hujan (RPH), bangsal dan stor, kata EXCO kemajuan desa.

Menurut Datuk Rizam Ismail, usahawan terlibat turut diberi latihan asas, selain kursus teknologi pembungkusan dan pemasaran digital bagi memastikan mereka mampu berdikari dan berdaya saing.

“Daripada sudut pasarana, kita menaik taraf pelbagai kemudahan awam, membina mercu tanda serta memperindah kawasan kampung. Bukan hanya untuk keselesaan, tetapi juga bagi membina identiti dan kebanggaan komuniti,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penyerahan bantuan peralatan dan input pertanian komponen ekonomi Prospek bagi daerah Sabak Bernam di Astaka Rakyat, Sungai Air Tawar, hari ini.

[caption id="attachment_695969" align="aligncenter" width="811"] (Gambar hiasan) Tidak seperti dulu, petani zaman kini tidak lagi memerlukan seseorang itu berjemur bawah panas terik mentari ataupun menggunakan tulang empat kerat bergelumang dengan tanah. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, Rizam menjelaskan pihaknya menerima peruntukan RM1 juta bawah Prospek tahun ini bagi melaksanakan beberapa program bantuan dan baik pulih infrastruktur.

Menurutnya, antara projek yang sedang dirancang termasuk bantuan RM10,000 setiap seorang kepada 10 penerima usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta input pertanian.

“Kita juga akan membaik pulih infrastruktur kampung serta membina mercu tanda Prospek sebagai simbol komitmen Kerajaan Negeri dan membantu membaiki rumah 15 keluarga yang layak,” katanya.

Rizam yang juga wakil rakyat Sungai Air Tawar menegaskan program seperti itu hanya akan berjaya jika menerima sokongan daripada semua pihak, termasuk agensi pelaksana dan masyarakat.

Jelasnya, bantuan yang diberikan juga perlu dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab, selain ilmu yang diperoleh melalui latihan mesti diguna pakai bagi tempoh jangka masa panjang.

“Dengan usaha berterusan dan semangat kerjasama, Sabak Bernam akan terus muncul sebagai daerah contoh dalam pembangunan luar bandar. Bukan sekadar maju daripada segi fizikal, tetapi juga kukuh dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.

Prospek merupakan program bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang menumpukan perkampungan sedia ada dalam membangunkan ekonomi, insfastruktur dan modal insan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.