JOHOR BHARU, 22 MEI: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) perlu dikekalkan sebagai perdana menteri untuk penggal kedua bagi membolehkan negara ditadbir urus dengan baik.
Setiausaha agung parti Dr Fuziah Salleh berkata kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu ekonomi meningkat malah negara turut mencatatkan 4.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku pertama tahun ini.
Jelasnya, angka berkenaan merupakan satu kebanggaan memandangkan pencapaian itu mengatasi rekod negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Brunei serta beberapa negara Eropah.
“Kita tunjuk prestasi lebih baik. Kenapa? Sebab kerajaan kita stabil. Ini penting sangat supaya parti yang menerajui kerajaan dan mendokong perdana menteri ini dilihat stabil.
“Dalam masa sama (kepimpinan Anwar) dibuktikan dengan tadbir urus baik dan pembangunan menyeluruh. Seluruh dunia lihat kepimpinan presiden. Jadi presiden perlu terus memimpin masuk penggal kedua.
“Kita adalah penggeraknya, ejen untuk pastikan agenda ini berlaku,” katanya merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda (AMK) dan wanita di sini, malam ini.
Fuziah berkata sempena pemilihan penggal 2025/2028 esok, kira-kira 18,000 ahli AMK dan wanita akan menjalankan tanggungjawab mengundi.
Pemilihan kali ini membabitkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan AMK.
Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.