Oleh Dewi Abdul Rahman
JOHOR BAHRU, 22 MEI: Calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersedia memikul tanggungjawab berat dan istiqamah dalam melaksanakan amanah jika menang dalam pemilihan parti kali ini.
Malah Nurul Izzah Anwar berkata tanggungjawab utama adalah menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat terutama wanita dan anak muda selain menjadi jambatan penyelesaian kepada permasalahan mereka.
“Sebagai pemimpin, apabila kita menawarkan diri, tanggungjawabnya amat berat. Namun, saya bertekad untuk istiqamah dalam melaksanakan amanah ini.
"Dari segi pelaksanaan dan sentuhan kita untuk 24 bulan yang mendatang dalam kalangan wanita, anak muda, kita perlukan strategi yang boleh memudahkan misi dan visi program yang diperkenalkan kepada rakyat itu benar-benar difahami," katanya.
Berucap pada Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita malam ini, beliau turut menyatakan komitmen untuk kekal menyantuni akar umbi sebagai keutamaan dalam perjuangannya, sama ada diberi mandat sebagai timbalan presiden atau sekadar anggota biasa.
"Saya ikhlas bertanding, pernah tidak bertanding dalam pemilihan lepas, tetapi itu tidak menghalang saya daripada terus memberikan yang terbaik, kita perlu fokus kepada suara akar umbi dan memastikan keperluan rakyat benar-benar diutamakan,” jelasnya.
[caption id="attachment_702388" align="alignnone" width="887"] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar Naib bersama ahli parti ketika Ceramah Grand Finale: Bersama Membawa Parti Kita pada Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 di KSL Hotel Johor Bahru pada 22 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Naib presiden KEADILAN itu juga mengigatkan semua perwakilan terus berjuang demi rakyat melalui semangat kebersamaan agar sasaran 40 peratus penglibatan wanita dan anak muda tercapai pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).
"Kita ini adalah denyut nadi, dan kalau kita sendiri tidak boleh terjemahkan apa yang dimahukan rakyat maka tidak mungkin kita dapat tawan sepenuhnya.
Nurul Izzah, bekas ahli parlimen Permatang Pauh dan Lembah Pantai, menerima sokongan meluas daripada pemimpin banyak negeri antaranya Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Melaka.
Pemilihan parti penggal 2025/2028 yang berlangsung esok membabitkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan AMK.
Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.