Oleh Yasmin Ramlan
KLANG, 22 MEI: Pihak berkuasa tempatan di Selangor diminta memastikan hasil kutipan cukai dikembalikan semula kepada rakyat menerusi pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih baik.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim berkata ia penting bagi memastikan PBT lebih proaktif dalam menyediakan perkhidmatan cekap dan pantas kepada pembayar cukai.
"Saya mahu setiap ringgit hasil kutipan cukai disalur semula kepada rakyat dalam bentuk kemudahan awam, kebersihan persekitaran dan infrastruktur berkualiti," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) hari ini.
Sementara itu Suee Lim berkata isu kebersihan dan banjir kilat terus menjadi keutamaan di Klang, justeru pelan penyelenggaraan sistem saliran secara berjadual dan menyeluruh perlu dilaksanakan segera, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Kampung Sentosa dan Kapar.
“Kerajaan Negeri melalui MBDK akan memastikan kekerapan pembersihan parit ditingkatkan dan projek naik taraf sistem perparitan dipercepatkan. Semua perkembangan projek akan dipaparkan di laman rasmi MBDK bagi memastikan ketelusan,” katanya.
MBDK memperuntuk RM64.8 juta tahun ini bagi kerja naik taraf kemudahan awam di sekitar Klang.